Jang Muda Di Liga Perdana - Permata Skuad Rusa

Jang Muda Di Liga Perdana - Permata Skuad Rusa

Seperti mana-mana organisasi yang berteraskan modal insan di dunia ini, kelab bola sepak juga perlu melahirkan dan membentuk bakat-bakat mereka dari akar umbi. Tanpa lahir bakat-bakat daripada rumah sendiri sudah tentunya Negeri Sembilan akan ketandusan pemain yang ingin bermain bermati-matian untuk negeri tercinta dan tambahan pula, khidmat orang luar pastinya lebih mahal. Cuba bayangkan kita mempunyai striker tempatan yang sama hebat seperti Jonathan Behe yang perlu di cari sehingga ke Perancis (Abang sahaja besarkan cerita walaupun sebenarnya beliau diintai sewaktu di Singapura dan Sabah). Bukankah ianya lebih manis?

 

Jang Muda di Mata Penulis 

 

Membina rumah perlulah dimulakan dengan membuat tapaknya dahulu. Sama jugalah seperti mana-mana bentuk pembangunan insan. Walaupun aku bersetuju yang tidak semestinya kelab bola sepak yang agung mempunyai keluaran pemain muda yang hebat, namun ada beberapa faktor lain yang perlu diambil kira sebelum kita membuat rumusan seperti ini.

Cuba kita lihat kelab-kelab Eropah seperti Monaco, Southampton dan Athletic Bilbao. Bakat-bakat muda mereka dirampas dan diambil ketika mereka sedang masak ranum. Adakah Negeri Sembilan persis seperti kelab-kelab ini? Hanya mampu mengeluarkan bakat tetapi tidak mampu menanggam mereka daripada berhijrah? Sudah tentu kita tidak mahu kelab kita berlaku sebegini. Abang tak sanggup Negeri Sembilan digelar Southampton Malaysia.

Kebanyakan pemain-pemain ini semuanya bakal menjadi pemain utama apabila tiba waktunya nanti. Seperti yang Kaka katakan tentang Philippe Coutinho sebelum namanya meletup di Liverpool, ” Philippe Coutinho can have Liverpool built around him”,  pemain-pemain seperti inilah yang akan membentuk corak permainan sesuatu kelab. Seperti Andres Iniesta di Barcelona, Steven Gerrard di Liverpool dan Andrea Pirlo di Italy.

Adakah kelab-kelab seperti ini berpeluang untuk menjadi juara jika mereka tidak menjual bakat-bakat mereka? Abang akan petik kata-kata seorang jurulatih daripada Perancis yang suka dengan nombor 4 dan abang translatekan dalam loghat Negeri Sembilan.”Kalau Southampton tak juar budak-budak eh maghin, dio nak champ liga juara-juara pun boleh kalau dio nak”. Sampai begitu pentingnya mereka ini di mata orang yang memahaminya.

 

 

Cabaran Jang Muda  

 

Jika dilihat dari segi amnya, Negeri Sembilan juga banyak mengeluarkan bakat-bakat muda dari zaman dahulu lagi. Sejak zaman-zaman emas Negeri Sembilan selepas memenangi sukma 2004, kita telah melahirkan bakat-bakat seperti Aidil Zafuan, Zaqwan Adha, Kunanlan Subramaniam, Shahurain Abu Samah dan lain-lain lagi. Namun, kebanyakan dari mereka sudah dipancing keluar ke kelab-kelab yang lebih ”besar” daripada Negeri Sembilan.

Pada masa kini, Skuad Rusa juga mempunyai bakat muda seperti Thanabalan Nadarajah dan Sean Eugene Selvaraj yang juga pasti akan menerima ujian godaan seperti ini di masa akan datang. Seperti mana-mana pekerja kolar putih dan peniaga di luar sana, pemain bola juga memerlukan motivasi untuk mereka terus berusaha. Gaji dan imbuhan tidak dapat disangkal menjadi salah satu bentuk motivasi untuk mereka. Siapa yang berniaga tidak mahu untung, siapa yang rajin bekerja tidak mahukan imbuhan?

Ini adalah cabaran utama bagi kelab-kelab seperti Negeri Sembilan jika hendak dibandingkan dengan kelab kaya seperti JDT. Adakah mengejar gaji dan imbuhan adalah salah? Sudah tentunya tidak. Seperti yang abang katakan tadi, gaji dan imbuhan adalah satu bentuk motivasi untuk mereka sebagai pemain bola. Justeru itu, adalah menjadi cabaran untuk persatuan bagi menawarkan sesuatu untuk mereka terus kekal. Mungkin jika Negeri Sembilan tidak berjaya memberi gaji yang mahal, kita boleh juga beralih kepada menawarkan rumah dan sebagainya dalam kontrak. Selagi ianya tidak salah dari segi undang-undang, ianya terserah kepada kebijaksanaan dan kreativiti persatuan dalam membuat keputusan.

Bagaimana pula peluang mereka untuk bermain sebagai kesebelasan utama di mata pengurus pasukan dan jurulatih? Lazimnya posisi mereka ini banyak diambil oleh pemain-pemain import. Kita lihat sendiri pada Skuad Jang tahun ini, kebanyakan tempat-tempat Jang Muda diambil oleh pemain-pemain import.

Walaubagaimanapun, pada pendapat aku, tahun ini aku nampak Asri Ninggal sangat berani menggunakan beberapa bakat muda seperti Muhd Nizam, Izzudin Zainudin, Sean Eugene Selvaraj dan lain-lain untuk beberapa perlawanan walaupun perlawanan itu agak penting. Sifat sebegini harus dikekalkan untuk memberi pengalaman kepada Jang Muda dan supaya mereka tahu peluang mereka sentiasa terbuka sekaligus menaikkan semangat dan keyakinan mereka. Sejujurnya aku mengharapkan Asri Ninggal dan Jorg diberi peluang lagi musim depan untuk membuktikan partnership antara mereka demi memartabatkan bola sepak Negeri Sembilan dan memberi peluang untuk Jang Muda.

Adakah Jang Muda dapat bersaing dengan muka-muka seperti Bruno Suzuki, Lee Tuck dan Jonathan Behe. Aku percaya mereka boleh!

 

 

Harapan Penyokong

 

Seperti mana penyokong-penyokong Negeri Sembilan yang lain, sudah tentu abang mengharapkan bakat mereka ini tidak disia-siakan. Lebih-lebih lagi bakat-bakat tersebut datang daripada tanah keramat adat perpatih ini. Kita perlu melahirkan pemain Born and bred from Negeri Sembilan bak kata orang Seri Menanti.

Abang harapkan Jang Muda jangan mudah sentap bila tidak dapat tempat pada mulanya. Tidak dinafikan mentaliti penyokong lebih gemarkan pemain luar atas dasar saiz dan kudrat mereka. Tetapi penonton yang bijak seperti penyokong Negeri Sembilan tidak memandang enteng usaha pemain muda tempatan.

Lebih padu jika mereka ini menjadi legend kelab dan bersara di Paroi di akhir karier nanti seperti Jamie Carragher di Liverpool ataupun Paolo Maldini di Milan. Mungkin selepas ini Ultras Malaya akan ada kain rentang Thanabalan Nadarajah dengan gambar dan captionMade in Seremban Jaya” ataupun “Our local lad” di setiap perlawanan. Sudah tentu ini akan menambahkan seri pada persatuan dan penyokong kita.

Penyokong juga sudah tentu tidak mahu Jang Muda menjadikan Paroi hanya sebagai tempat persinggahan untuk karier mereka seperti yang dilakukan kebanyakan bekas-bekas pemain Arsenal di Emirates. Kita menanam, kita membaja, sudah tentu kita yang mahu menuainya. Abang sentiasa mengharapkan mereka menabur jasa di kelab Negeri Sembilan dahulu sebelum berbakti di kelab lain. Mereka boleh ke kelab lain sebelum habis khidmat dengan pasukan Negeri Sembilan hanya dengan syarat, kelab-kelab luar negara yang memanggil mereka seperti liga Jepun, Korea mahupun Eropah. Jika Gamba Osaka ingin melamar Thanabalan Nadarajah, abang cakap silakan!


 

 

P/S: Bagaimana pula dengan Jang Tua? Perlu abang komen ke?

 

Football   Bola Sepak Malaysia   Negeri Sembilan FA